Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan...

Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan

Monday, June 11, 2012

Balik Kampung

Assalamualaikum semua, Saya baru balik dari kampung di Kelantan. Banyak kisah indah yang dapat dikongsikan. Adik bungsu baru masuk ke rumah barunya...Alhamdulillah cantik rumah beliau! Alhamdulillah juga Mek (Ibu saya)masih sihat at the age of 70!Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Saya hanya ingin berkongsi kisah yang begitu menyentuh hati saya. Saya berpeluang melawat Pakcik A, adik ibu saya. Tersentuh sungguh hati! beliau yang baru-baru ini terjatuh di bilik air kelihatan kurus dan pucat! Bukan itu sahaja, percakapannya terhad, sepatah demi sepatah perkataan ynag keluar, itupun kadang-kadang sukar difahami. Dulu Pakcik A bertubuh gempal, ceria dan suka bercerita dengan saya! Aduh, inilah hakikat putaran kehidupan ... Saya dan suami bersama-sama memotong kuku jari tangan dan kakinya. Itu sahaja yang termampu saya lakukan untuk menunjukkan rasa kasih saya padanya.Pakcik A mulanya keberatan takut menyusahkan kami sambil memberitahu berulang kali bahawa anak lelaki sulungnya akan melakukan kerja itu bila melawatnya. Saya tidak pasti bila kali terakhir nak-anaknya melawat beliau.Namun mulutnya sentiasa menyebut nama anak-anaknya terutama anak lelaki sulungnya dan isteri yang pada andaian saya mungkin lebih kerap melawat beliau. Alhamdulillah mulutnya terkumatkamit berzikir dan beliau tetap patuh mengerjakan solat. Malah solatnya dilakukan seawal mungkin. Masuk sahaja waktu, beliau gelisah mahu mengambil wuduk. Airmata saya menitis bila memegang jari jemari yang suatu masa dahulu pernah memandikan saya semasa saya kecil. Beliau seorang yang warak dan penyayang. Saya tidak akan lupa apa yang pernah dilakukannya dahulu semasa mudanya. Dia pernah membeli hadiah sarung kaki untuk saya. Dia kerap menasihati kami adik beradik. Dia kerap bawakan kami kuih-muih. Saya tidak dapat bayangkan kenangan-kenangan yang telah dicipta sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya. Hanya Tuhan yang tahu! Beliau melakukan apa sahaja kerja, sehingga membasuh pakaian untuk keluarga..Ah, biarlah Tuhan yang Maha Adil mengadili segalanya! Saya dapat bayangkan harinya yang panjang kini. Berkurung dirumah dengan kesihatan yang begitu merosot... kehadiran anak-anak menjadi penantian utama baginya. Saya tahu anak-anak beliau (sepupu2) saya merupakan anak-anak yang baik dan soleh. Cuma saya risaukan kesibukan kita di KL ini menghadkan masa untuk menjenguk beliau yang uzur itu. Kebajikan kepada Ibu bapa merupakan 'peluang' untuk anak-anak menjejaki syurga Allah.Mari kita raih peluang itu sementara kita masih diberikan peluang oleh Allah. Usah dipersoalkan apa yang ibu bapa berikan kepada kita kerana selamanya kita tidak mungkin dapat membalas jasa mereka, walaupun jasa untuk 'kelahiran' kita sahaja. Tanyalah diri kita dahulu apakah kita sudah menjadi anak yang soleh? Apakah kita sudah selesa untuk menjawab soalan Allah nanti terhadap layanan kepada kedua ibubapa kita? Semoga kita semua (semestinya termasuk diri saya juga!) mendapat redha kedua ibu bapa kerana hanya dengan redha mereka kita mampu meraih redha Allah.Sabda Rasullulah SAW bermaksud, “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” Riwayat al-Hakim.

Sunday, January 15, 2012

PERIKSA DIRI KITA

Assalamualaikum wbt.

Rancangan Mukadimah yang bersiaran pada pagi selasa di TV9, 21/6/11, sungguh menarik sekali. Saya sangat terkesan sekali dengan ‘ceramah’ yang disampaikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin.
Saya amat tertarik dengan cerita Dr. Danial yang mengisahkan dirinya yang tidak jadi meneruskan niat untuk bertemu seorang professor kerana dari jauh dilihatnya professor tersebut membuang balutan coklatnya dari dalam kereta ‘keluar’. Dr. Danial rasa ‘sugul’ dan terkilan menyebabkan dirinya membatalkan hasrat awalnya itu. Jika saya di tempat Dr. Danial, saya akan lakukan perkara yang sama!
Sememangnya saya dan keluarga cukup ‘terkilan’ dan ‘sedih’ dengan sikap sebahagian kecil dari kita yang dengan ‘penuh rasa tidak bersalahnya’ membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Saya dan anak-anak beberapa kali terserempak dengan perlakuan ‘kurang ajar’ seperti itu.

Kisah 1.

Pada suatu hari, saya dan keluarga melalui satu jalanraya berhampiran Plaza Phoenix, Cheras, menuju ke Kajang. Bayangkan jalan yang bersih dan menjadi kegunaan ramai itu sewenang-wenang sahaja dicemari. Sebuah kereta yang dipandu laju dengan beberapa anak muda yang berpakaian tidak melambangkan orang beriman diiringi dengan muzik yang begitu menyakitkan telinga telah membaling keluar satu beg plastik berisi penuh dengan kulit rambutan ke atas jalan. Mujur juga beg plastik itu tidak terjatuh ke atas cermin hadapan pemandu lain yang mungkin boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini. Beg plastik itu terburai di tengah jalan. Segala isi kandungannya bertaburan mencemari permukaan jalan. Saya beristighfar menahan marah. Salah seorang anak saya yang begitu kesal dengan perbuatan tersebut dengan spontan mengeluarkan kata-kata, ‘semoga Tuhan memberi pembalasan setimpal kepada mereka’. Keceriaan kami sekeluarga pagi itu terjejas dengan rasa terkilan yang amat mendalam dengan perbuatan anak-anak muda tersebut. Saya percaya pengguna-pengguna jalanraya yang lain pada ketika itu juga berkongsi perasaan yang sama. Sudahlah muzik yang kuat dan jerit pekik mereka mencemarkan ‘bunyi’, ditambah pula dengan pencemaran alam sekitar.


Kisah 2.

Sewaktu menghantar anak bungsu saya ke sekolah, di Bangi, saya berhenti di sebelah sebuah bas sekolah yang sedang menunggu pelajar sessi pagi untuk pulang. Terdapat sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah yang terletak bersebelahan. Seorang pelajar sekolah menengah perempuan telah dengan selambanya membaling keluar bekas plastik minumannya keluar tingkap bas. Plastik yang masih bersisa dengan minuman itu bertaburan di tengah-tengah jalan. Anak saya yang berusia 9 tahun pada ketika itu marah-marah melihat perbuatan yang tidak bertanggung jawab tersebut. Sebuah tong sampah terletak di tepi jalan berdekatan pintu bas itu sendiri tidak dimanafaatkan. Saya menurunkan cermin kereta dan memandang wajah pelajar tersebut yang sedang berbual dan ketawa dengan suara yang agak kuat bersama-sama dua orang rakannya. Pandangan saya bukannya pandangan menjeling marah. Hanya pandangan biasa untuk menyedarkan dirinya bahawa ada orang memandang dirinya. Pelajar tersebut memandang saya dengan rasa tidak bersalah. Malah seketika kemudian, dibalingnya pembalut makanan pula keluar tingkap. Beberapa pemandu yang tersekat dalam ‘kesesakan’ waktu puncak itu saya lihat turut mengeleng-gelengkan kepala.
“Eii… teruknya perangai, ibu turunkan adik di sini. Adik mahu naik ke atas bas dan memberitahu kakak itu supaya tahu menghargai kebersihan. Jalan ini bersih, ada orang yang menyapunya,” ujar anak saya dengan kemarahan yang membuak. Saya naikkan semula cermin kereta. “Tidak usahlah. Budak perempuan itu sebenarnya ‘sakit’. Kita doakanlah hatinya sembuh dari sakitnya,” pujuk saya.
“Kalau adik nasihatkan, silap-silap adik pula yang dipukul olehnya. Orang yang tidak merasa Allah melihatnya pada masa itu akan melakukan perbuatan begitu. Sebab itulah penting untuk kita sentiasa ingat bahawa di manapun kita Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan!” panjang lebar pula saya mengambil kesempatan menasihati anak saya juga. Anak saya kemudiannya meminta izin untuk mengutip sampah itu. Saya tidak benarkan memandangkan keadaan kenderaan yang bersesak tersebut boleh membahayakan dirinya.
Anak saya pernah mengutip balutan coklat yang baru sahaja dibuang oleh seorang pemuda di sebuah taman rekreasi. Pemuda itu berpaling, meneka anak saya ‘sangkakan ’masih ada coklat dalam balutan tersebut. Namun pemuda tersebut malu sendiri bila anak kecil itu mengutip sampah tersebut dan berlari anak ke arah tong sampah yang berhampiran.


Kisah 3.

Kalau sebelumnya saya dan anak-anak banyak terserempak dengan orang-orang muda yang tidak peka dengan kebersihan persekitaran, kali ini lain pula halnya. Seorang perempuan yang baru sahaja menurunkan anaknya di perkarangan sekolah telah menurunkan cermin pemandu dan membuang beberapa balutan gula-gula keluar tingkap keretanya. Aduh! Terkilan sungguh saya dibuatnya. Kalau selama ini orang-orang muda yang masih dalam proses memerlukan didikan dan bimbingan yang melakukan perkara tersebut, kali ini orang perempuan yang berusia 40an, menutup aurat dengan baik dan berkereta mewah pula yang berkelakuan demikian! (Sebenarnya menutup aurat satu kewajipan dan berbuat dosa itu cerita lain pula. Orang yang menutup aurat jauh lebih baik dan mulia dari orang yang mendedahkan auratnya . Namun saya terkilan, alangkah baiknya imej agama kita, jika penampilan yang baik itu disertakan dengan perlakuan yang baik juga?)
Seperti biasa, anak bungsu saya menjerit tidak puas hati. “Ibu, orang itu sudah tua! Tak kan dia tidak tahu perbuatan itu berdosa!” marah anak saya. Saya mengurut dada mencari idea. “Mungkin dia terlupa. Ibu rasa dia terlupa,” balas saya memujuk. Alhamdulillah anak saya sudah agak terlewat sedikit. Tidaklah perlu saya ulaskan lanjut mengenai hal itu. Anak saya melangkah keluar kereta dengan wajah muram dan berlalu pergi.


Kisah 4

Saya bersama-sama anak sulung dan anak kedua menunggu adik bungsu mereka pulang dari sekolah petang. Bertentangan dengan kereta kami terdapat sebuah kereta yang juga sedang menunggu anak mereka. Kereta tersebut diparkir ditepi pagar sekolah. Saya meneka duduk ditempat pemandu adalah anak lelaki keluarga tersebut. Saya ragui sama ada remaja tersebut sudah memiliki lesen memandu kerana dia kelihatan seperti anak remaja berusia 14 atau 15 tahun sahaja. Disebelahnya mungkin seorang kakak perempuannya. Dibelakang kereta saya agak adalah ibunya dan adik perempuannya. Mula-mula si kakak perempuan perlahan-lahan menurunkan sedikit cermin dan membuang keluar tisu terpakai dari tingkap keretanya.
“Eii…ibunya tidak perasan ke anak dia membuang tisu keluar dari kereta?” komen anak sulung saya. “Mungkin tidak perasan tu,” ujar saya. Tumpuan anak-anak saya kini terarah kepada ‘penghuni’ kereta tersebut.
“Ibu! Patutlah anaknya tidak berakhlak, ibunya juga begitu!” jerit anak lelaki saya yang turut merasa tidak senang dengan perlakuan mereka. Saya menoleh memandang mereka. Kini ibunya sudah keluar dari kereta. Setompok sampah-sampah kecil yang terdiri dari balutan gula-gula dan tisu-tisu terpakai rupanya turut ‘melangkah’ keluar kereta tersebut bersama wanita yang saya agak merupakan ibu mereka. Saya dan anak sulung serentak beristighfar! Kami kehilangan kata-kata sebenarnya. Apa lagi yang hendak saya ucapkan kepada anak-anak jika emak dan anak sama sahaja perangainya!
“Mungkin Mak Cik itu tidak terperasan yang diribaannya ada sampah,” saya cuba meredakan rasa tidak puas hati anak-anak. “Saya rasa tidak. Sebelum dia keluar, Mak Cik itu menoleh ke kiri dan kanan. Seolah-olah meninjau kalau-kalau ada orang yang melihat dirinya. Lepas itu barulah dia keluar dengan perlahan dan melangkah pergi. Bila jauh sikit dari kereta, sempat pula dia menjeling sampah yang dibiarkannya bertaburan dekat pintu keretanya itu. Saya rasa Mak Cik tu sengaja ibu,” anakku yang sulung pula menjelaskan panjang lebar.
Aku terdiam. Sukarnya untuk mendidik anak-anak kita bila di sana sini orang-orang yang sepatutnya memberikan contoh yang baik ‘mengkhianati’ pula tanggung jawabnya. Anak-anak saya terus menerus ‘mengomel’ tidak puas hati. “Sudahlah. Nanti dosa kita pula melebihi dosa mereka. Bukankah ibu sudah katakan, dalam dunia ini banyak benda yang kita rasa tidak puas hati dan teraniaya. Namun pujuklah hati kita dengan keyakinan kepada keadilan Allah. Tidak akan ada satu perbuatanpun walau sebesar zarah yang tidak diadili oleh Allah. Biarlah Allah sahaja yang menilai perbuatan mereka,” pujukku.


Kisah 5.

Baru-baru ini jiran saya mengadakan kenduri. Ramai tetamunya yang hadir. Bersusun-susun kereta parkir di hadapan rumah saya yang kebetulan ada tanah lapang. Sebuah keluarga yang kelihatan seperti keluarga yang ‘baik-baik’ dari segi penampilannya meletakkan kenderaan MPVnya betul-betul bertentangan hadapan pagar rumah saya . Semasa pulang salah seorang anak perempuannya, sekitar 10 tahun usia, membuang beberapa pembalut makanan keatas rumput. Rumput hijau dan bersih yang baru sahaja dibersihkan secara gotong royong oleh suami dan jiran-jiran saya itu kini dicacatkan oleh sampah tersebut. Saya tidak pasti sama ada ibubapanya perasan atau tidak dengan sampah tersebut. Mereka semua pada ketika itu masih belum masuk ke kereta. Ibunya pula hampir terpijak sampah-sampah itu. Saya dan anak sulung yang berada di tingkat atas yang kebetulan sedang melihat keluar mengeleng kepala melihat kejadian itu.
Mereka semua masuk ke kereta. Setelah kereta mula bergerak satu lagi pembalut makanan dilontar keluar. Kali ini saya terdengar ada suara seorang anak kecil yang menjerit, “Hai!...buang sampah ikut suka hati ke?” Seketika kemudian anak bungsu saya tercungap-cungap berlari mendapatkan saya. “Ibu, mereka buang sampah dihadapan rumah kita!” ujarnya yang hampir menanggis kekecewaan. Suami saya yang kebetulan berada berhampiran memujuk, “Biarlah. Nanti kita kutiplah sampah tersebut. Tidak susahpun,” pujuk suami saya.
“Ibu nampak. Dalam dunia ini manusia ini berbagai-bagai ragamnya. Jangan lupa apa yang kita mesti ingat untuk pujuk kekecewaan dan tidak puas hati kita?” tanya saya.
“Allah itu Maha Adil!” kedua-dua anak saya serentak menjawab.
“Kenapa mereka tidak boleh sediakan bekas sampah dalam kenderaan seperti kita lakukan?” tanya anak bungsu saya dengan suara yang sedikit kendur.
“Mungkin dia tidak terfikir tentang itu,” balas saya.
“Kenapa orang yang buang sampah itu tidak pernah terfikir yang sesuatu tempat itu pasti ada orang yang menjaga kebersihannya. Jika ‘main’ ikut suka hati sahaja, agaknya alam sekitar kita ini penuh dengan sampah yang bertimbun-timbun!” komen si bungsu lagi.
“Yang saya hairan tu, tidak tahukah mereka bahawa perbuatan mereka itu sangat keji dan berdosa?” tanya anak sulung saya.
“Mungkin mereka lupa atau ‘pendidikan’ yang mereka terima belum sampai ke isu itu,” jawab saya mudah.
Saya sebenarnya ‘letih’ dengan perangai segelintir kita yang membuang sampah sesuka hati. Kalaupun mereka pada masa itu ‘tidak terfikir’ takutkan Allah, tak kan tergamak mencemari persekitaran yang sudah dijaga bersih oleh orang lain. Tidak adakah rasa bersalah terhadap alam sekitar dan orang lain? Mungkin ada yang merasakan sampah-sampah itu hanya sampah biasa, bukannya sisa toksid atau hasil buangan bahan kimia yang memudharatkan. Namun isunya bukan jenis dan saiz sampah. Isunya kesedaran dan ‘keimanan’ kita yang ‘tercemar’ itu yang dikesalkan. Sikap begini jelas menunjukkan sikap orang yang tidak bersyukur. Tidak mustahil anak-anak yang tidak terdidik dari kecil tentang ‘kesedaran ini’ akan melakukan ‘pencemaran’ yang lebih serius di masa hadapan kelak.
Marilah kita sama-sama mengingatkan diri sendiri dan keluarga kita tentang kesedaran menjaga alam sekitar kita. Kalaupun kita tidak mampu untuk turut membersihkan sesuatu kawasan itu, sekurang-kurangnya bagilah kerjasama dengan tidak mengotorkannya dengan tangan kita pula!

Wassalam.

Tuesday, March 22, 2011

Catatan Terhadap Novel Ke2 Saya- LOMY DAN TOMPOK

Alhamdulillah novel kedua saya akan keluar insyaallah kalau sempat pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC akhir April 2011 ini. Ramai kawan-kawan yang menyokong, terima kasih. Ada seorang kenalan yang memberi komen ‘Ha? Tulis buku pasal kucing? Dengan nada menyindir. Saya tidak pasti apa yang dia expect saya tulis. Mungkin buku-buku yang menumpukan isu yang lebih ‘berat’ seperti buku-buku berbentuk ilmiah , teknikal atau motivasi. Saya tidak kecil hati, jauh sekali untuk merasa marah kerana mungkin benar juga persepsinya atau mungkin dia belum sempat memahami . Bagi saya, biarlah orang lain yang tulis mengenai subjek-subjek tersebut yang saya rasakan sudah ramai juga penulis di bidang berkenaan.

Saya menulis bukan sebagai sekadar mengisi ‘ruang’ atau untuk personal gain. Saya ada visi dan misi tersendiri bila menulis. Saya rasa semua bersetuju jika saya katakan akhlak anak-anak remaja kita hari ini adalah di tahap membimbangkan. Saya memandang kes ini sebagai sesuatu yang serius dan berat serta memerlukan perhatian dan action plan semua kita sebagai ahli masyarakat lebih-lebih lagi sebagai ibubapa. Secara peribadi, saya tidak mampu untuk mendekati semua remaja kita dengan cara lain kecuali melalui tulisan. Setiap remaja melalui zaman kanak-kanak. Kalau kita mahukan remaja berakhlak, pendidikkannya harus bermula seawal zaman kanak-kanak malah seawal dari dalam kandungan lagi. Itulah yang cuba saya sampaikan melalui tulisan saya. Selitan nasihat dalam novel disampaikan secara ‘tidak langsung’ dan santai supaya anak-anak tidak merasakan mereka dileteri atau di condemn . Pada masa yang sama semoga mereka merasa terhibur dengan cerita-cerita yang isunya ‘hampir’ kepada diri mereka. Semoga mesej yang cuba disampaikan kepada mereka akan ‘sampai’ dan mencapai matlamatnya.

Novel Lomy dan Tompok bukan cerita mengenai kucing semata-mata. Ada pengajaran,nasihat dan panduan yang tersirat. Walaupun sasaran pembaca kita kepada anak-anak awal remaja, anak-anak remaja juga masih sesuai membaca novel ini kerana jalan ceritanya berkisar kepada isu-isu seharian yang begitu hampir dengan kita semua. Sebaiknya jika ada masa ibubapa juga turut membaca sepintas lalu novel ini sebelum anak-anak membacanya supaya senang ‘berbincang’ dengan mereka mengenai pengajaran dan pedoman yang boleh dikutip dari novel ini.

Terima kasih di atas sokongan semua, selamat membaca.