Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan...

Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan

Sunday, January 15, 2012

PERIKSA DIRI KITA

Assalamualaikum wbt.

Rancangan Mukadimah yang bersiaran pada pagi selasa di TV9, 21/6/11, sungguh menarik sekali. Saya sangat terkesan sekali dengan ‘ceramah’ yang disampaikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin.
Saya amat tertarik dengan cerita Dr. Danial yang mengisahkan dirinya yang tidak jadi meneruskan niat untuk bertemu seorang professor kerana dari jauh dilihatnya professor tersebut membuang balutan coklatnya dari dalam kereta ‘keluar’. Dr. Danial rasa ‘sugul’ dan terkilan menyebabkan dirinya membatalkan hasrat awalnya itu. Jika saya di tempat Dr. Danial, saya akan lakukan perkara yang sama!
Sememangnya saya dan keluarga cukup ‘terkilan’ dan ‘sedih’ dengan sikap sebahagian kecil dari kita yang dengan ‘penuh rasa tidak bersalahnya’ membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Saya dan anak-anak beberapa kali terserempak dengan perlakuan ‘kurang ajar’ seperti itu.

Kisah 1.

Pada suatu hari, saya dan keluarga melalui satu jalanraya berhampiran Plaza Phoenix, Cheras, menuju ke Kajang. Bayangkan jalan yang bersih dan menjadi kegunaan ramai itu sewenang-wenang sahaja dicemari. Sebuah kereta yang dipandu laju dengan beberapa anak muda yang berpakaian tidak melambangkan orang beriman diiringi dengan muzik yang begitu menyakitkan telinga telah membaling keluar satu beg plastik berisi penuh dengan kulit rambutan ke atas jalan. Mujur juga beg plastik itu tidak terjatuh ke atas cermin hadapan pemandu lain yang mungkin boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini. Beg plastik itu terburai di tengah jalan. Segala isi kandungannya bertaburan mencemari permukaan jalan. Saya beristighfar menahan marah. Salah seorang anak saya yang begitu kesal dengan perbuatan tersebut dengan spontan mengeluarkan kata-kata, ‘semoga Tuhan memberi pembalasan setimpal kepada mereka’. Keceriaan kami sekeluarga pagi itu terjejas dengan rasa terkilan yang amat mendalam dengan perbuatan anak-anak muda tersebut. Saya percaya pengguna-pengguna jalanraya yang lain pada ketika itu juga berkongsi perasaan yang sama. Sudahlah muzik yang kuat dan jerit pekik mereka mencemarkan ‘bunyi’, ditambah pula dengan pencemaran alam sekitar.


Kisah 2.

Sewaktu menghantar anak bungsu saya ke sekolah, di Bangi, saya berhenti di sebelah sebuah bas sekolah yang sedang menunggu pelajar sessi pagi untuk pulang. Terdapat sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah yang terletak bersebelahan. Seorang pelajar sekolah menengah perempuan telah dengan selambanya membaling keluar bekas plastik minumannya keluar tingkap bas. Plastik yang masih bersisa dengan minuman itu bertaburan di tengah-tengah jalan. Anak saya yang berusia 9 tahun pada ketika itu marah-marah melihat perbuatan yang tidak bertanggung jawab tersebut. Sebuah tong sampah terletak di tepi jalan berdekatan pintu bas itu sendiri tidak dimanafaatkan. Saya menurunkan cermin kereta dan memandang wajah pelajar tersebut yang sedang berbual dan ketawa dengan suara yang agak kuat bersama-sama dua orang rakannya. Pandangan saya bukannya pandangan menjeling marah. Hanya pandangan biasa untuk menyedarkan dirinya bahawa ada orang memandang dirinya. Pelajar tersebut memandang saya dengan rasa tidak bersalah. Malah seketika kemudian, dibalingnya pembalut makanan pula keluar tingkap. Beberapa pemandu yang tersekat dalam ‘kesesakan’ waktu puncak itu saya lihat turut mengeleng-gelengkan kepala.
“Eii… teruknya perangai, ibu turunkan adik di sini. Adik mahu naik ke atas bas dan memberitahu kakak itu supaya tahu menghargai kebersihan. Jalan ini bersih, ada orang yang menyapunya,” ujar anak saya dengan kemarahan yang membuak. Saya naikkan semula cermin kereta. “Tidak usahlah. Budak perempuan itu sebenarnya ‘sakit’. Kita doakanlah hatinya sembuh dari sakitnya,” pujuk saya.
“Kalau adik nasihatkan, silap-silap adik pula yang dipukul olehnya. Orang yang tidak merasa Allah melihatnya pada masa itu akan melakukan perbuatan begitu. Sebab itulah penting untuk kita sentiasa ingat bahawa di manapun kita Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan!” panjang lebar pula saya mengambil kesempatan menasihati anak saya juga. Anak saya kemudiannya meminta izin untuk mengutip sampah itu. Saya tidak benarkan memandangkan keadaan kenderaan yang bersesak tersebut boleh membahayakan dirinya.
Anak saya pernah mengutip balutan coklat yang baru sahaja dibuang oleh seorang pemuda di sebuah taman rekreasi. Pemuda itu berpaling, meneka anak saya ‘sangkakan ’masih ada coklat dalam balutan tersebut. Namun pemuda tersebut malu sendiri bila anak kecil itu mengutip sampah tersebut dan berlari anak ke arah tong sampah yang berhampiran.


Kisah 3.

Kalau sebelumnya saya dan anak-anak banyak terserempak dengan orang-orang muda yang tidak peka dengan kebersihan persekitaran, kali ini lain pula halnya. Seorang perempuan yang baru sahaja menurunkan anaknya di perkarangan sekolah telah menurunkan cermin pemandu dan membuang beberapa balutan gula-gula keluar tingkap keretanya. Aduh! Terkilan sungguh saya dibuatnya. Kalau selama ini orang-orang muda yang masih dalam proses memerlukan didikan dan bimbingan yang melakukan perkara tersebut, kali ini orang perempuan yang berusia 40an, menutup aurat dengan baik dan berkereta mewah pula yang berkelakuan demikian! (Sebenarnya menutup aurat satu kewajipan dan berbuat dosa itu cerita lain pula. Orang yang menutup aurat jauh lebih baik dan mulia dari orang yang mendedahkan auratnya . Namun saya terkilan, alangkah baiknya imej agama kita, jika penampilan yang baik itu disertakan dengan perlakuan yang baik juga?)
Seperti biasa, anak bungsu saya menjerit tidak puas hati. “Ibu, orang itu sudah tua! Tak kan dia tidak tahu perbuatan itu berdosa!” marah anak saya. Saya mengurut dada mencari idea. “Mungkin dia terlupa. Ibu rasa dia terlupa,” balas saya memujuk. Alhamdulillah anak saya sudah agak terlewat sedikit. Tidaklah perlu saya ulaskan lanjut mengenai hal itu. Anak saya melangkah keluar kereta dengan wajah muram dan berlalu pergi.


Kisah 4

Saya bersama-sama anak sulung dan anak kedua menunggu adik bungsu mereka pulang dari sekolah petang. Bertentangan dengan kereta kami terdapat sebuah kereta yang juga sedang menunggu anak mereka. Kereta tersebut diparkir ditepi pagar sekolah. Saya meneka duduk ditempat pemandu adalah anak lelaki keluarga tersebut. Saya ragui sama ada remaja tersebut sudah memiliki lesen memandu kerana dia kelihatan seperti anak remaja berusia 14 atau 15 tahun sahaja. Disebelahnya mungkin seorang kakak perempuannya. Dibelakang kereta saya agak adalah ibunya dan adik perempuannya. Mula-mula si kakak perempuan perlahan-lahan menurunkan sedikit cermin dan membuang keluar tisu terpakai dari tingkap keretanya.
“Eii…ibunya tidak perasan ke anak dia membuang tisu keluar dari kereta?” komen anak sulung saya. “Mungkin tidak perasan tu,” ujar saya. Tumpuan anak-anak saya kini terarah kepada ‘penghuni’ kereta tersebut.
“Ibu! Patutlah anaknya tidak berakhlak, ibunya juga begitu!” jerit anak lelaki saya yang turut merasa tidak senang dengan perlakuan mereka. Saya menoleh memandang mereka. Kini ibunya sudah keluar dari kereta. Setompok sampah-sampah kecil yang terdiri dari balutan gula-gula dan tisu-tisu terpakai rupanya turut ‘melangkah’ keluar kereta tersebut bersama wanita yang saya agak merupakan ibu mereka. Saya dan anak sulung serentak beristighfar! Kami kehilangan kata-kata sebenarnya. Apa lagi yang hendak saya ucapkan kepada anak-anak jika emak dan anak sama sahaja perangainya!
“Mungkin Mak Cik itu tidak terperasan yang diribaannya ada sampah,” saya cuba meredakan rasa tidak puas hati anak-anak. “Saya rasa tidak. Sebelum dia keluar, Mak Cik itu menoleh ke kiri dan kanan. Seolah-olah meninjau kalau-kalau ada orang yang melihat dirinya. Lepas itu barulah dia keluar dengan perlahan dan melangkah pergi. Bila jauh sikit dari kereta, sempat pula dia menjeling sampah yang dibiarkannya bertaburan dekat pintu keretanya itu. Saya rasa Mak Cik tu sengaja ibu,” anakku yang sulung pula menjelaskan panjang lebar.
Aku terdiam. Sukarnya untuk mendidik anak-anak kita bila di sana sini orang-orang yang sepatutnya memberikan contoh yang baik ‘mengkhianati’ pula tanggung jawabnya. Anak-anak saya terus menerus ‘mengomel’ tidak puas hati. “Sudahlah. Nanti dosa kita pula melebihi dosa mereka. Bukankah ibu sudah katakan, dalam dunia ini banyak benda yang kita rasa tidak puas hati dan teraniaya. Namun pujuklah hati kita dengan keyakinan kepada keadilan Allah. Tidak akan ada satu perbuatanpun walau sebesar zarah yang tidak diadili oleh Allah. Biarlah Allah sahaja yang menilai perbuatan mereka,” pujukku.


Kisah 5.

Baru-baru ini jiran saya mengadakan kenduri. Ramai tetamunya yang hadir. Bersusun-susun kereta parkir di hadapan rumah saya yang kebetulan ada tanah lapang. Sebuah keluarga yang kelihatan seperti keluarga yang ‘baik-baik’ dari segi penampilannya meletakkan kenderaan MPVnya betul-betul bertentangan hadapan pagar rumah saya . Semasa pulang salah seorang anak perempuannya, sekitar 10 tahun usia, membuang beberapa pembalut makanan keatas rumput. Rumput hijau dan bersih yang baru sahaja dibersihkan secara gotong royong oleh suami dan jiran-jiran saya itu kini dicacatkan oleh sampah tersebut. Saya tidak pasti sama ada ibubapanya perasan atau tidak dengan sampah tersebut. Mereka semua pada ketika itu masih belum masuk ke kereta. Ibunya pula hampir terpijak sampah-sampah itu. Saya dan anak sulung yang berada di tingkat atas yang kebetulan sedang melihat keluar mengeleng kepala melihat kejadian itu.
Mereka semua masuk ke kereta. Setelah kereta mula bergerak satu lagi pembalut makanan dilontar keluar. Kali ini saya terdengar ada suara seorang anak kecil yang menjerit, “Hai!...buang sampah ikut suka hati ke?” Seketika kemudian anak bungsu saya tercungap-cungap berlari mendapatkan saya. “Ibu, mereka buang sampah dihadapan rumah kita!” ujarnya yang hampir menanggis kekecewaan. Suami saya yang kebetulan berada berhampiran memujuk, “Biarlah. Nanti kita kutiplah sampah tersebut. Tidak susahpun,” pujuk suami saya.
“Ibu nampak. Dalam dunia ini manusia ini berbagai-bagai ragamnya. Jangan lupa apa yang kita mesti ingat untuk pujuk kekecewaan dan tidak puas hati kita?” tanya saya.
“Allah itu Maha Adil!” kedua-dua anak saya serentak menjawab.
“Kenapa mereka tidak boleh sediakan bekas sampah dalam kenderaan seperti kita lakukan?” tanya anak bungsu saya dengan suara yang sedikit kendur.
“Mungkin dia tidak terfikir tentang itu,” balas saya.
“Kenapa orang yang buang sampah itu tidak pernah terfikir yang sesuatu tempat itu pasti ada orang yang menjaga kebersihannya. Jika ‘main’ ikut suka hati sahaja, agaknya alam sekitar kita ini penuh dengan sampah yang bertimbun-timbun!” komen si bungsu lagi.
“Yang saya hairan tu, tidak tahukah mereka bahawa perbuatan mereka itu sangat keji dan berdosa?” tanya anak sulung saya.
“Mungkin mereka lupa atau ‘pendidikan’ yang mereka terima belum sampai ke isu itu,” jawab saya mudah.
Saya sebenarnya ‘letih’ dengan perangai segelintir kita yang membuang sampah sesuka hati. Kalaupun mereka pada masa itu ‘tidak terfikir’ takutkan Allah, tak kan tergamak mencemari persekitaran yang sudah dijaga bersih oleh orang lain. Tidak adakah rasa bersalah terhadap alam sekitar dan orang lain? Mungkin ada yang merasakan sampah-sampah itu hanya sampah biasa, bukannya sisa toksid atau hasil buangan bahan kimia yang memudharatkan. Namun isunya bukan jenis dan saiz sampah. Isunya kesedaran dan ‘keimanan’ kita yang ‘tercemar’ itu yang dikesalkan. Sikap begini jelas menunjukkan sikap orang yang tidak bersyukur. Tidak mustahil anak-anak yang tidak terdidik dari kecil tentang ‘kesedaran ini’ akan melakukan ‘pencemaran’ yang lebih serius di masa hadapan kelak.
Marilah kita sama-sama mengingatkan diri sendiri dan keluarga kita tentang kesedaran menjaga alam sekitar kita. Kalaupun kita tidak mampu untuk turut membersihkan sesuatu kawasan itu, sekurang-kurangnya bagilah kerjasama dengan tidak mengotorkannya dengan tangan kita pula!

Wassalam.