Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan...

Erti Kehidupan Pada Membuat Pilihan

Tuesday, October 23, 2012

Assalamualaikum semua.
Buku motivasi MEMILIH UNTUK BAHAGIA (MUB) saya sudah terbit.  Buku ini berkongsi  tip-tip dan kisah pengajaran yang insyaAllah boleh membantu kita mencari rasa bahagia. Saya paparkan cover hadapan dan belakang buku ini untuk permulaan ini. InsyaAllah ‘extract’ tulisan dalam buku ini akan saya paparkan dalam posting saya seterusnya. Terima kasih kepada yang sudahpun membelinya dari saya sendiri. Belian on-line boleh dibuat di web Galeri Ilmu Sdn.Bhd seperti link di bawah. Sesiapa yang berminat mendapatkan terus dari saya boleh pm kepada saya ( go to fb Nor Hayati Sapii )




Monday, July 16, 2012

Assalamualaikum wrt.
Terlebih dahulu maaf saya pohon kerana agak tertangguh untuk menyambung semula amalan-amalan berikutnya yang boleh mengundang Cinta Allah ( berdasarkan kuliah Syeikh Ali Jabir - Imam Madinah).
7) Merasa Kehinaan Tanpa Allah.
Sewajarnya kita merasakan hina dan kecewa tanpa Allah. Misalnya seseorang yang terlajak berbuat perkara dosa, beliau sepatutnya merasa menyesal dan kecewa di atas  perbuatannya. Mungkin dengan perbuatan beliau tersebut, Allah tidak lagi ‘bersama’nya. Allah tidak lagi kasih kepada dirinya. Orang beriman akan sentiasa mahu Allah bersamanya. Siapalah diri kita ini? Cuba kita sama-sama renungkan;
Hanya untuk makan makanan yang sedia terhidang sahaja Allah limpahkan kurniaanNya yang tidak terhitung;
Allah berikan rezeki makanan itu untuk kita,
Allah berikan waktu (kelapangan) untuk kita makan,
Allah berikan selera untuk makan,
Allah berikan mulut untuk dimasukkan makanan
Allah berikan lidah untuk merasa,
Allah berikan gigi untuk mengunyah makanan,
Allah berikan deria rasa/sentuh  untuk mengesan makanan panas atau sebaliknya
Allah berikan deria bau untuk menambah rasa lazat makanan,
Allah berikan tangan untuk menyuapkan makanan ke mulut,
Allah berikan mata untuk melihat makanan,
Itu hanyalah di antara kurniaan Allah untuk hanya makan makanan yang sedia terhidang sehingga makanan masuk ke mulut. Jika kita mulakan dari sumber makanan, proses penyediaan makanan, pergerakan makanan dari tekak seterusnya kepada system penghadaman makanan dsb lagi, nescaya senarai kurniaan Allah kepada kita tidak mampu kita senaraikan.
Kalau bab makan sahaja begitu besar pergantungan kita dengan rahmat Allah, untuk seluruh kehidupan ini apatah lagi. Maka sewajarnya kita merasa terhina dan kecewa tanpa cinta dan redha Allah kepada kita. Perhatikan firman Allah yang bermaksud;
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
[Az-Zariyat :56- 57]
8) Mengasingkan diri dan berkhalwat kepada Allah
Tuan Imam mengsyorkan kita semua mengkhaskan masa untuk bersendirian ‘dengan’ Allah. Itulah masanya untuk kita mengadu, memohon dan meluahkan rasa cinta kepada Allah. Masa yang paling sesuai adalah selepas 1/3 malam. Jika ini dapat kita lakukan sebagai rutin harian, InsyaAllah kita akan sentiasa dekat dengan Allah dan Allah akan mudah memakbulkan doa kita.
Firman Allah,
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.
(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;
Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan.
Dia lah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.

(Al-Muzzammil: 6-9)

9) Banyak Bergaul Dengan Orang-orang Yang Mencintai Allah.
Perbanyakkan bergaul dan berkawan dengan orang-orang yang ‘hampir’ dengan Allah. Hadiri majlis-majlis yang mendekatkan diri kita kepada Allah.
Imam Syafie   pernah berkata , “ Aku cintakan orang soleh, mudah-mudahan ‘sinar’ mereka dapat memberi aku barkah. Aku benci orang yang berbuat dosa walaupun aku selalu berbuat dosa.” Begitu rendah diri seorang imam yang mazhabnya tersebar luas di muka bumi. Beliau yang hebat pada pandangan kita masih mendambakan untuk mendekati orang-orang yang soleh.
Semoga Allah memberi ‘ruang dan peluang’ untuk kita mendampingi orang-orang yang soleh, ameen.
10) Menjauhi Semua Hal Yang ‘Menjauhkan kita’ Dari Cinta Allah.
Secara umumnya menjauhi setiap larangan Allah. Orang-orang yang mengharapkan Cinta Allah bukan sahaja menjauhi perkara yang terang-terangan menjadi larangan malah menjauhi juga perkara-perkara yang syubahat, InsyaAllah.
Begitulah 10 amalan untuk mendapatkan Cinta Allah yang telah digariskan dalam kuliah  Tuan Syeikh Ali Jabir (Imam Madinah) yang disampaikan pada 23/6/2012 di surau An-Nur, Bandar Baru Bangi. Semoga kita mendapat panduan darinya. Apa-apa kekurangan datang dari kelemahan saya sendiri (sebagai penulis semula) dan saya memohon keampunan dari Allah dan kemaafan dari saudara semua. Sama-samalah kita berusaha amalkan mengikut kemampuan dan semoga kita mampu meningkatkan usaha kita dari semasa ke semasa sehingga dapat mengamalkan kesemua 10 amalan itu dengan jayanya, insyaAllah. Ameen.
Wassalam.


Sunday, July 1, 2012

Assalamualaikum;

Seperti yang dijanjikan, saya akan menyambung semula 3 amalan seterusnya yang boleh meraih CINTA Allah. Maaf kerana mengambil masa agak lama sedikit untuk menyambung semula. Kalau diikutkan kesibukan, sekali sebulanpun belum tentu dapat menulis.

4. Mendahulukan Perkara Yang Dicintai Allah Dari Perkara Yang Kita (Hawa Nafsu) Cintai.

Maksudnya priority kita adalah untuk mendapat Redha Allah. Selalunya perkara yang dilarang Allah itu terasa indah pada sebahagian dari kita. Syaitan yang menjadikannya indah. Contohnya, kita mahu menutup aurat dengan sempurna, ada-ada sahaja pujukan syaitan yang menghalang,
"Kau tak cantik pakai tudung"
"Nampak 'out-dated' pakai tudung"
"Baju longgar nampak selekeh"
Bermacam-macam lagi hasutan hawa nafsu. Tidak tertulis oleh kita. Begitu juga halnya dengan amalan atau perkara yang lain.

Apabila berhadapan di antara 'kepentingan' kita dengan 'kepentingan' Allah, kita seringkali tewas. Tuan Syeikh memberikan contoh seorang peniaga yang didatangi oleh seseorang dengan peluang bisness yang boleh memberikan keuntungan sepuluh ribu ringgit. Pada masa yang sama Allah 'memanggil' kita untuk bersolat, yang mana agaknya yang kita layan dahulu?

5. Mengerti Dan Memahami Asma'-Asma' Allah.

Asma'-Asma' Allah mempunyai rahsia dan kehebatannya sendiri. Ianya bukan untuk dihafal dibibir namun untuk difahami dan diberi pengertian dalam kehidupan kita seharian.

Cuba kita pilih salah satu Asma' Allah. Pelajari dan fahami mengenainya bersungguh-sungguh, kemudian amalkan berzikir dengan Asma' tersebut. InsyaAllah akan ada perubahan pada diri kita.
Contohnya kita ini mungkin seorang yang panas baran, cepat marah, dan kasar tuturkata/perlakuannya. Cuba dalami maksud Al-Latif. Berzikirlah dengan Asma' tersebut pada setiap masa. Kalau terasa mahu mengherdik orang lainpun, ingatlah Allah Yang Maha Perkasa itu bersifat Al-Latif, siapalah kita yang serba kekurangan ini mahu mengherdik hamba Allah yang lain. Insya-Allah lama kelamaan kita boleh mengawal sifat buruk kita itu. Setiap kali berasa panas baran atau  ingin berkasar dgn. orang lain, kita akan terus teringatkan Al-Latif dan merasa malu dengan Allah.

6. Merasa Setiap Nikmat Yang Dikurniakan Oleh Allah.

Setiap nikmat Allah ini besar nilainya. Malangnya kita hanya terbayang nikmat yang hebat bila dikurniakan dengan harta, pangkat kebesaran dan kedudukan (kuasa). Pada hakikatnya nikmat yang lain yang dikurniakan kepada semua hambanya jauh lebih hebat dari itu.

Kebetulan semalam saya terbaca di Harian Metro cerita mengenai seorang wanita yang kehilangan deria bau selepas kejadian beliau terjatuh. Beliau bekerja sebagai tukang masak di restorannya. Katanya selama ini beliau merasakan deria rasa (lidah) paling penting untuk memasak dan menikmati kelazatan makanan. Namun setelah diuji Allah dengan kehilangan deria bau, beliau dapat merasakan betapa azabnya hidup beliau. Proses memasak dan merasa makanan sudah tidak normal lagi. Walaupun lidah masih boleh merasa, namun kini makanan yang wangi sama sahaja dengan makanan yang mungkin busuk. Rupanya nikmat makan bukan sahaja pada deria rasa tetapi juga pada deria bau! MasyaAllah!

Semoga wanita tersebut akan mendapatkan semula nikmat deria bau beliau.

 Kita sendiripun tidak pernah terfikir mengenai kepentingan deria bau sehingga sejauh itu, walaupun sekali sekala bila selsema kita terasa hambarnya setiap makanan. Kita selalu 'take for granted' nikmat Allah. Mungkin kita tidak begitu menghargai sehinggalah sesuatu nikmat itu hilang dari kita. Mari kita tambahkan doa kita dengan ucapkan syukur kepada Allah setiap malam sebelum tidur dan setiap bangun dari tidur. "Segala puji bagimu ya Allah kerana mengurniakan aku nikmat yang banyak, yang tidak mampu aku senaraikan.  Ampunkan aku ya Allah sekiranya aku seolah-olah lupa dengan nikmatMu..."
Cerita 1 Dari Tuan Syeikh

Khalifah Harun Al-Rashid memanggil seorang ulama ke istananya. Beliau meminta ulama tersebut memberikan nasihat kepadanya. Lama ulama tersebut terdiam. Dia berfikir-fikir tentang apa lagi yang perlu dinasihatkan kepada Khalifah. Khalifah Harun Al-Rasyid merupakan salah seorang khalifah yang 'beriman' dan berlaku adil . Beliau juga melayan baik dan mengutamakan para ulama.

"Kenapa tuan berdiam diri. Nasihatkanlah saya dengan suatu nasihat yang dapat mendekatkan diri saya kepada Allah."

"Begini Amirul Mukminin. Bayangkan tuan tersesat di padang pasir yang luas dan panas yang amat terik. Puas mencari air namun tidak diperolehi. Tuan terasa amat dahaga. Sanggupkah tuan tukarkan separuh gelas air dengan separuh harta dan kerajaan tuan?" tanya ulama tersebut.

"Saya sanggup" balas Harun Al-Rasyid setelah berfikir seketika.

"Jika keadaan tadi masih berterusan. Tuan merasa dahaga lagi. Sanggupkah tuan tukarkan separuh lagi harta dan kerajaan tuan untuk separuh gelas air lagi?"

"Ya, saya sangup!" balas khalifah tanpa berfikir panjang lagi.

"Kesimpulannya tuan, hartamu dan kerajaanmu belum mampu untuk menebus/membalas nikmat rezeki walau hanya segelas air yang Allah kurniakan." ujar ulama yang bijak tersebut.

Khalifah Harun Al-Rashyid terkedu. Beliau merasa insaf dan terharu mendengar 'nasihat' dan analogi dari ulama tersebut.  Terasa betapa dirinya sebagai khalifah yang mempunyai kerajaan yang luas dan kekayaan yang melimpah itu sebenarnya hina dan kerdil di sisi Allah.

Cerita 2 Dari Tuan Syeikh

Seorang hartawan berusia 60 tahun telah mendapat suatu penyakit yang menyukarkannya membuang air. Anak hartawan tersebut membawa ayahnya berubat di serata tempat dengan bertemu doktor-doktor pakar yang 'hebat' di bidang tersebut. Namun penyakit ayahnya tidak juga sembuh. Anak tersebut merasa amat tertekan.

Ditakdirkan Allah ayahnya telah sembuh selepas menerima rawatan dari seorang doktor pakar. " Terima kasih banyak-banyak, doktor. Doktor telah mengembirakan kami semua. Telah lama kami berubat, namun tidak berhasil. Doktor juga yang menjadi penyelamat," ujar si anak dengan gembira sambil tidak putus-putus memuji dan berterima kasih kepada doktor tersebut.

Anehnya dalam kegembiraan si anak dan doktor tersebut, si ayah yang baru sembuh tersebut kelihatan berdukacita dan bersedih.

"Kenapa ayah kelihatan dukacita? Bukankah ayah sudah sembuh?" tanya si anak dengan hairan.

"Ayah bersedih dan malu dengan sikapmu anakku. Allah telah izinkan ayah membuang air dengan selesa selama hampir 60 tahun, kamu tidak memuji dan bersyukur kepada Allah. Sedangkan Allah uji ayah dengan sedikit ujian, bila sembuh pujianmu sesama manusia melambung tinggi sedangkan kesembuhan juga berlaku dengan izin Allah!"

Subhanallah! Maha Suci Allah yang mengurniakan nikmat yang tidak terhitung kepada hambanya walaupun seringkali hambaNya lupa bersyukur kepadaNya!

Firman Allah:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
[Ibrahim: 7]

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
[Az-Zariyat : 56 - 58]
Tunggu 4 lagi amalan seterusnya nanti, insya-Allah.
Nota: Tulisan warna ungu adalah tambahan saya sendiri.

Sunday, June 24, 2012

Assalamualaikum wrtb.

Jika ditanya adakah anda mencintai Allah? Jawapannya kita semua 'merasakan' kita mencintai Allah.
Bagaimana jika ditanya adakah Allah mencintai kita? Jawapannya apa pula ya? Pasti? Belum tentu?

Hakikatnya Allah itu amat mengasihi semua makhluk dan hambanya. Namun manusia itu sendirilah yang mengundang murka Allah terhadap mereka.

Saya hanya ingin berkongsi ilmu mengenai CINTA ALLAH yang disampaikan oleh Syeikh Ali Soleh Bin Ali Jabir (Imam berasal dari Madinah) semasa kuliah Maghribnya di Surau An-Nur, BB Bangi pada 3 Syaaban 1433 yang lalu (23 Jun 2012).

Suatu ketika Rasulullah SAW dan para sahabat menyaksikan bagaimana resah dan deritanya seorang ibu yang kehilangan anaknya. Ibu tersebut tidak menghiraukan keadaan dirinya kerana asyik mencari anaknya yang hilang. Tidak lama kemudian ibu tersebut berjumpa anaknya yang hilang itu. Keduanya berpelukan seolah-olah tidak mahu berpisah untuk selamanya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, "Pada pendapat kamu apakah ibu tersebut rela jika anaknya itu dihumban ke dalam api?" Para sahabat dengan pantas menyatakan "Pastinya tidak" kerana semua maklum bagaimana dalam dan tulusnya kasih seorang ibu terhadap anaknya.  Lalu Rasulullah SAW memberitahu bahawa kasih sayang Allah kepada hambanya jauh melangkaui kasih dari seorang ibu terhadap anaknya.

Lalu bagaimanakah untuk mendapat CINTA Allah yang hebat itu? Imam Syeikh Ali Soleh menitipkan 10 perkara atau amalan yang boleh mengundang cinta Allah kepada kita;

1. Tilawah A-Quran dan memahami maksudnya.

Kehebatan Al-Quran sangat menakjubkan kita. Semua orang mampu (jika berusaha) untuk membaca  
Al-Quran walaupun bahasa pertuturannya bukan bahasa Arab. Malah orang yang cacat penglihatan juga mampu membaca Al-Quran. Inilah di antara kehebatan Al-Quran. Namun sebagai orang beriman, belum cukup untuk kita sekadar membacanya sahaja. Kita perlu mempelajari maksud isi kandungannya dan mempraktikannya dalam kehidupan seharian. Baca dan fahamilah maksud Al-Quran walaupun hanya satu mukasurat malah kalau tidak mampu mulakan dengan beberapa ayat sehari secara istiqamah. Insya-Allah hati akan lebih tenang dan kita berasa lebih hampir kepadaNya.

2. Dekatkan diri dengan Allah melalui amalan-amalan sunat.

Kalau mahu dicintai, bukankah kita dahulu mesti mencintai? Tuan Imam menyatakan kalau setakat melakukan amalan wajib belum tentu kita melakukannya kerana cinta, mungkin level kita kerana takutkan neraka Allah. Namun seseorang yang benar-benar berusaha meraih CINTA Allah akan melakukan lebih dari itu, yakni memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain juga.

3. Berterusan zikirullah dengan hati.

Zikirullah, secara theori,  amat mudah untuk dilakukan. Seseorang tidak perlu berwuduk, tidak perlu menghadap kiblat, tidak perlu duduk di tempat tertentu dsb. Bila-bila masa sahaja kita boleh lakukkannya. Itu theori. Perlaksanaannya tidak semudah itu. Kenapa ya? Kerana mungkin minda kita lebih dipenuhi dengan urusan-urusan dunia sehinggakan sukar untuk kita berzikir mengingati Allah.

Zikir terbahagi kepada 3 jenis;
i) Zikir lisan. Mengucapkan zikir dengan lisan contohnya bila kita bertasbih, bertahmid, bertakbir, beristighfar dsb.
ii) Zikir Perbuatan. Melakukan sesuatu yang menunjukkan ketaatan kepada Allah.
iii) Zikir Kalbu. Merupakan tahap zikir yang tertinggi. Zikir yang boleh melahirkan rasa KeBesaran dan KeEsaan Allah dan 'kehadiran'  Allah setiap detik.

Saranan Tuan Imam, cuba amalkan zikir pada waktu sahur (yakni lebih kurang di antara 1/3 akhir malam sehingga masuk waktu subuh). Ambil sekitar 20 minit untuk berzikir kepada Allah. Tidak perlu mementingkan kuantitinya seperti menetapkan tasbih 1000x, tahmid 1000x dan sebagainya tanpa menjiwai apa yang kita ucapkan. Namun pentingkan kualitinya. Contohnya, bila menyebutkan Allahuakbar, bayangkan kebesaran-kebesaran Allah seperti melalui Kejadian, ciptaannya ( langit dan bumi misalnya) atau peristiwa-peristiwa yang dapat memberi kesan di hati kita terhadap kebesaran Allah.

Cerita tentang kelebihan zikirullah.
Imam Ahmad Bin Hanbal (Imam Hanbali) setelah keluar dari penjara yang panjang  (Dipenjara oleh kerana menentang fahaman kaum Muktazilah yang mengatakan Al-Quran itu Makhluk) bersolat berjemaah di sebuah masjid. Orang ramai tidak mengenalinya kerana keadaannya yang baru keluar penjara itu. Beliau pula tidak memperkenalkan dirinya. Apabila selesai solat isyak, Imam Hanbali mahu istirehat di dalam masjid tersebut sebelum meneruskan perjalanan, namun tidak dibenarkan oleh penjaga masjid yang menyangkanya seorang pengemis. Beliau beralih ke halaman masjid, namun masih disergah dan diugut pukul sehingga memaksa Imam Hanbali keluar dari pagar masjid. Kejadian ini disaksikan oleh seorang lelaki. Beliau mengajak Imam Hanbali menjadi tetamunya. Imam Hanbali dilayan dengan baik. Lelaki itu rupanya seorang pembuat roti. Imam Hanbali merasa kagum dengan lelaki tersebut yang senantiasa berzikir kepada Allah sepanjang masa walaupun semasa sibuk membuat roti. Lalu Imam Hanbali bertanya "Apakah tuan mendapat apa-apa kebaikan dari amalan istighfar dan zikir tuan itu?" "Alhamdulillah doa dan hajat saya selalu dimakbulkan oleh Allah," jawab lelaki itu. "Cuma satu sahaja lagi doa saya masih belum dimakbulkan Tuhan..." lelaki itu bersuara perlahan. "Apakah doa tuan itu?" tanya Imam Hanbali. "Saya sangat teringin untuk bertemu Imam Hanbali". Mendengar ucapan lelaki tersebut Imam Hanbali terus menangis terharu dan mengaku bahawa dialah Imam Hanbali yang ingin ditenui lelaki itu. Kedua-duanya saling menangis terharu dan berpelukan.

 Lihatlah, betapa Imam Hanbali melalui detik dihalau dari masjid itu sebenarnya merupakan proses perancangan Allah untuk memakbulkan doa sipembuat roti yang selalu berzikir itu. Subhanallah, hebatnya kelebihan zikirullah!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka." 

Riwayat Abu Daud

Tunggu nanti sambungan 7 lagi amalan seterusnya...

Wassalam.




Saturday, June 23, 2012

Assalamualaikum wrtb.

Hidup ini dipenuhi ujian dan kejutan. Tanpa melihat apa yang berlaku sekeliling, cukup dengan diri kita sendiripun sudah berbagai peristiwa suka-duka yang kita tempuhi. Itulah warna kehidupan. Sesungguhnya Allah pasti menguji manusia lebih-lebih lagi orang beriman. Semoga apa jua ujian dalam hidup kita, mampu kita lalui dengan tabah. Memang sukar. Namun yakinlah seberat manapun ujian tersebut ianya pasti berlalu. Mohonlah ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi dugaan hidup kepada Allah.

Setelah membaca di akhbar tentang keinsafan seorang 'Mak Nyah' untuk kembali ke pangkal jalan di dalam harian Metro, saya teringat cerita ustaz Malik Hanafi tentang 'Mak Nyah' yang sudah insaf ini. Betapa berat ujian untuk mereka bila 'mata-mata' memandang kepada mereka ketika mereka berbaju Melayu ke Masjid. Bagaimana tiada yang memandang, dengan alis lentik, muka pink dan kulit halus mereka memakai songkok, dengan fizikal seorang perempuan mereka berbaju melayu! Masya-Allah luasnya rahmat dan pengampunan Allah sehinggakan mereka yang telah terlajak ke peringkat itupun masih diberikan hidayah untuk kembali ke jalan diredhaiNya.

Kita pula bagaimana? Kadangkala ada ujian yang 'bentuknya' seringkali membuatkan kita lupa bahawa itulah ujian untuk kita. Kita kaya? muda? cantik? lalu kita rasakan itu sebagai rahmat pemberian Allah semata. Sebenarnya dalam pemberiannya itulah terkandung ujian. Berapa banyak kita bersyukur? Sudahkah kita membantu mereka yang memerlukan? tiadakah rasa bangga dan riak dalam diri kita? Pendek kata semua orang diuji, cuma bentuk ujiannya sahaja berbeza. Mari kita renungi maksud dari Al-Quran mengenai ujian ini;

[Al-‘Ankabut : 2]
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
[Al-Anfal :28]
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
 
Rasulullah SAW pula bersabda;
”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”
 
Riwayat al-Hakim

"Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya."
 
Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a

Semoga kita semua 'berjaya' melalui ujian-ujian dalam hidup dan beroleh keampunan dan tingkatan darjat di sisi Nya, Amin.

NOTA: Hadis dipetik dari himpunan Hadis  (kompilasi JAKIM).

Tuesday, June 19, 2012

Assalamualaikum.

Seperti yang saya janjikan, saya terpanggil untuk kongsikan kisah seorang anak yang sangat hebat sempena hari bapa yang baru berlalu.

Biar saya namakan lelaki ini Z sahaja. Z dilahirkan tanpa bapanya di sisi. Semasa ibunya mengandungkannya lagi bapanya menghilangkan diri tanpa khabar berita. Ibu Z hampir keseorangan memikul beban kehidupan memandangkan beliau yang berbangsa cina dijadikan anak angkat oleh keluarga melayu. Setelah Z dilahirkan, ibunya terpaksa menyerahkan Z kepada kakak angkatnya kerana ibunya terpaksa bekerja untuk menampung hidupnya dan abang Z yang masih kecil.

Masa terus berlalu. Z bertuah kerana keluarga angkatnya sangat menyayangi dan mengambil berat mengenai dirinya. Z berjaya ke universiti dan membuka firma sendiri bersama rakan kongsinya di KL.

Setelah 'mencari' bapa yang menghilang, akhirnya Z temui bapanya itu yang tinggal tidak jauh dari KL.

Bapa Z bahagia bersama isteri baru dan mempunyai 5 orang anak. Z sangat gembira kerana telah dipertemukan dengan bapanya. Bapanya dilayan dengan penuh hormat malah Z membawa bapanya mengerjakan umrah bersamanya. Bapanya juga sering berulang alik ke rumah Z dan sering meminta Z menolongnya bila berdepan dengan kesulitan.

Ramai kawan-kawan yang mengetahui kisah silam Z merasa 'terkilan' dengan layanan Z yang terlalu 'baik' terhadap bapanya itu. Tambahan pula at one point ibu  Z  juga terasa kecil hati terhadap Z bila mengenangkan apa yang telah dilakukan oleh suaminya dahulu. Kawan-kawan masing-masing memberi komen sendiri;

"Tidak perlulah kau buat baik sangat dengan bapa kau tu, dia dulu tidak ambil kisahpun tentang kau!"

"Kau tidak ingatkah macamana penganiayaan bapa kau terhadap kau adik beradik dan  ibu kau ?"

"Bapa kau kan sudah ada anak-anak baru, biarlah anak-anaknya itu yang ambil berat pasal dia."

Despite komen-komen yang negatif tersebut, respon yang diberikan oleh Z memang sangat hebat .

"Aku tidak kisah apa yang telah berlaku. Biarlah apa yang dilakukan oleh bapa aku diadili oleh Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Adil. Aku tidak layak untuk mengadilinya apatah lagi untuk menghukum dia. Aku pula takut untuk diadili Tuhan sekiranya tanggungjawab sebagai seorang anak tidak aku tunaikan."

Begitu hebat prinsip yang dipegang oleh insan bernama Z ini. Sememangnya Z seorang insan yang hebat 'takwanya'. Jawapannya mengunci terus mulut rakan-rakan. Masing-masing insaf dan terkedu mendengar jawapan Z.

Ada dua pengajaran berguna dari kisah Z.

1. Biar bagaimana 'burukpun' ibu bapa kita, tanggungjawab kita sebagai seorang anak tidak terlepas begitu sahaja. Sebagai seorang anak, kita tetap dihisab terhadap layanan dan tanggungjawab kepada ibu bapa.

2. Ibu Z seorang wanita yang baik dan beriman . Pada mulanya sahaja beliau terasa kecil hati. Tidak lama kemudian beliau juga turut menyokong Z. Seorang ibu yang baik tidak akan menghasut anak-anaknya untuk membenci bapanya hanya kerana perasaan dendam peribadinya. Seorang ibu yang benar-benar menyayangi anak-anaknya tidak akan membiarkan anak-anak untuk melakukan dosa besar dengan menderhaka kepada bapanya.

Sekian dulu untuk perkongsian kali ini. Pilihlah untuk memaafkan, bersangka baik dan melakukan sesuatu kerana Allah semoga kita lebih hampir kepada takwa!

Wassalam.

Saturday, June 16, 2012

Assalamualaikum.

Kita ada 'sambutan'Israk-mikraj, maulidur rasul, nuzul Al-Quran dan sebagainya. Alhamdulillah sekurang-kurangnya dari terlupa langsung, ada juga kita ingat setahun sekali. Namun persoalannya cukupkah begitu sahaja?

Apa jua peristiwa berkaitan agama kita bukan hanya untuk 'dikenang' namun tuntutannya lebih jauh dari itu. Walaupun sesuatu peristiwa itu hanya berlaku pada satu tarikh, namun signifikannya sepanjang saat kehidupan. Contohnya Nuzul Al-Quran. Al-Quran bukan untuk diingati semasa nuzul Al-Quran sahaja. Al-Quran mesti dibaca, difahami dan dipraktikkan kandungannya sepanjang masa sehingga ke nafas terakhir kita, insya-Allah. Kita sudah tua, terlalu banyak yang perlu dipelajari tentang Al-Quran? Malah ada yang membaca Al-Quran pun masih merangkak-rangkak?

Jangan putus asa.Tidak berputus asa dari rahmat Allah melainkan orang yang kafir/kufur. Allah itu Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Kesilapan yang lalu usah kita ulangi lagi. Mulakan langkah yang baru untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Belajarlah tentang ilmu agama walaupun apa yang kita pelajari itu merupakan tahap pengetahuan anak-anak berusia enam tahun. Yang penting kita memulakan langkah kita. Allah yang Maha Pengasih itu tidak melihat permulaan kita, Dia melihat bagaimana pengakhir kepada hayat kita. Semoga kita semua berjaya dalam mencari redha Yang Maha Esa, Insya-Allah.

Saya juga suka untuk menyentuh tentang sambutan hari-hari lain juga. Hari Ibu, hari Bapa! Baguslah kalau sekurang-kurangnya setahun sekali dapat berikan hadiah kepada ibu dan bapa. Rasulullah SAW juga mengalakkan kita saling memberi hadiah (mengikut kemampuan) untuk mengeratkan kasih-sayang antara kita.

Halnya sama juga. Mengingati ibu dan bapa tidak cukup hanya setahun sekali. Apalah ertinya jika hari bapa (kononnya hari ini) kita sambut penuh meriah dengan hadiah yang mahal namun 364 hari lagi dalam setahun itu bapa kita 'entah di mana' dalam diari hidup kita. Bapa kita jauh terpinggir bukan sahaja secara fizikalnya, namun ada di kalangan kita yang menyiksa bapa mereka secara emosinya juga. 'Kita' bukan sahaja menzahirkan bahawa urusan hidup kita yang lain jauh lebih penting dari seorang bapa malah kita melupakan kebajikan mereka seolah-olah seorang bapa itu tiada langsung harganya pada 'kita'. Marilah kita perhatikan firman Allah mengenai ibu bapa ini di dalam Al-Quran semoga kita mendapat 'hidayah' dariNya,

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.
[Al-Israa’ :23 -25]


Saya sebenarnya ingin kongsikan kisah hebat seorang anak yang sangat releven dengan 'hari Bapa' ini. Namun saya kesuntukkan masa sekarang ini, semoga Allah izinkan saya menulisnya secepat mungkin nanti, insya-Allah.

Friday, June 15, 2012

Assalamualaikum.

Ada sesiapa terbaca tentang artis Korea yang bunuh diri dalam Metro hari ini? Beliau masih muda dan jelita. Knowing that musim remaja sekarang sukakan K-pop saya dapat bayangkan populariti dan 'kemewahan' hidup beliau. Kenapa jalan itu yang dipilihnya?

Di dalam nota yang ditinggalkan sehari sebelum beliau membunuh diri menyatakan dia tidak berjaya temui ketenangan ( tiada apa yang boleh menenangkan beliau)!

Benarlah rasa bahagia itu akan hilang jika tiada ketenangan fikiran sebagaimana firman Allah yang Maha Mengetahui itu,

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram (tenang)”
(Ar-Ra’d :28)


Sama-sama kita mengambil pelajaran darinya.

Thursday, June 14, 2012

Assalamualaikum.

Sekejap tadi saya mengikuti rancangan 'Islam Pilihanku' (kalau tidak silap nama rancangan itu) di radio IKIM. Sebenarnya saya jarang sekali terlepas dari mengikuti rancangan tersebut. Banyak perkara yang boleh kita pelari dari Tetamu-tetamu jemputan (saudara 'baru'). Saya cukup seronok dan terharu mendengar hujah-hujah dan butir perbualan Brother Lim ( Saudara 'Baru' ,Tetamu jemputan)hari ini. Beliau seorang yang berilmu dan benar-benar menghayati agama Islam. Kalau tidak silap, saya pernah mengikuti ceramahnya di Surau An-Nur, Bangi. Alangkah baiknya jika di kalangan kita semua mengikuti contoh beliau. Pengetahuan agama beliau jauh lebih baik dari sesetenggah kita yang sudah sedia lahir dalam Islam. Namun saudaraku semua, percayalah selagi kita masih hidup, selagi itulah kita masih mempunyai peluang untuk berubah ke arah kebaikan, semoga Allah mempermudahkan!

Saya ingin kongsikan apa yang diungkapkan oleh brother Lim mengenai Solat. Analoginya cukup cantik. Beliau mengatakan solat itu umpama peta, maps. Mana mungkin seseorang yang mahu sentiasa on the right track meninggalkan petanya. Jika peta tidak dihiraukan mungkin kita tidak berupaya menuju ke destinasi yang dituju. Begitu juga solat. Solat adalah merupakan 'penunjuk arah' kepada kita supaya tidak tergelincir dari jalan yang lurus.

Solat yang dikerjakan secara sempurna akan menahan seseorang itu dari melakukan kemungkaran dan kejahatan. Marilah kita mendirikan solat dan berusaha untuk khusyuk dengan berterusan, semoga hidayah dan petunjuk Allah itu lebih hampir dengan kita.

Sama-sama kita hayati maksud ayat Al-Quran ini,
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.[Al-ANFAL : 29]


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi.

Tuesday, June 12, 2012

Assalamualaikum,

Buku Motivasi (bakal terbit, insya-Allah) untuk perkongsian pertama saya dengan kaum dewasa berjudul 'MEMILIH UNTUK BAHAGIA'. Insya-Allah saya akan kongsikan petikan-petikan langsung dari kandungan buku tersebut dan falsafah umum berkaitan kandungan buku tersebut dalam catatan saya di blog ini dari masa ke semasa.

Untuk kali ini mari kita soal diri kita secara jujur (jika kita merasa tidak bahagia)Kenapa tidak bahagia? Apa puncanya tidak bahagia? Apakah yang kita rasa seolah-olah rasa bahagia itu sebenarnya kebahagian sejati atau sekadar rasa seronok dan puas sahaja? Rasa seronok dapat duit bonus, bila habis dibelanjakan, hilang rasa seronok malah mungkin rasa menyesal pula. Lalu sebenarnya rasa bahagiakah itu?

Apakah kita akan bahagia jika memiliki wang berjuta-juta? Apakah kita akan bahagia jika mampu memperolehi apa sahaja?

Bayangkan jika kita hidup sendirian di atas sebuah pulau. Tiada tujuan. Makan, minum, tidur dan mungkin berhibur. Tiada hubungan ketuhanan. Namun semua keperluan kita mencukupi, apakah kita akan bahagia? Apakah tujuan hidup pada masa itu? Hidup tanpa tujuan dan sesat dari jalan pulang? Bahagiakah begitu? Bukankah lama-kelamaan akan timbul rasa jemu dan bosan?(Maksud jalan pulang adalah jalan kehidupan yang sepatutnya ditempuhi oleh orang mukmin yang percayakan bahawa hidup di dunia ini hanyalah sebahagian dari perjalanan pulang menemui Allah. 'Rumah' yang kekal untuk kita semua adalah kehidupan di akhirat nanti.)

Kita maklumi bahawa kehidupan kita tidak boleh terlepas dari dua jenis hubungan; iaitu hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah (Maha Pencipta).

Keseronokan dan kehebatan hubungan sesama manusia sahaja tidak menjamin kebahagiaan. Kemewahan material tidak dapat membeli kebahagiaan. Ini terbukti (seperti yang kita telah ketahui)terdapatnya celebriti dan orang-orang yang popular dan bergelar 'billionaire' atau 'millionaire' mengakhiri hidup mereka dengan membunuh diri! Apakah ada rasa bahagia semasa hayat mereka?

Bagaimana pula hubungan dengan Allah? mampukah kita mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT jika hubungan kita sesama manusia 'tidak' beres?

Kesimpulannya, kita memerlukan kedua-dua hubungan tersebut berjalan lancar sepertimana yang disyariatkan oleh Islam untuk mencapai rasa bahagia. Namun kemuncak rasa bahagia yang sejati adalah lahir dari rasa jiwa yang tenang sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran ;


Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram (tenang)”
( Ar-Ra’d :28 )


Oleh itu, marilah kita mengorak langkah mencari rasa bahagia yang sebenar itu. Kita memohon ampun terhadap kesalahan yang lalu dan berazam untuk merintis jalan sebenar dalam mencari kebahagiaan mulai sekarang, insya-Allah!

Monday, June 11, 2012

BUKU BARU

Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,



Alhamdulillah saya diizinkan olehNya menyiapkan sebuah perkongsian ‘Memilih Untuk Bahagia’! Bolehkah kita memilih untuk bahagia? Jawapannya mengapa tidak? Bukankah Allah Yang Maha Adil memberikan manusia akal fikiran supaya kita boleh membuat pilihan? Hal ini sesuai dengan adanya hitungan dosa dan pahala di akhirat nanti. Di mana kita ketahui dalam al-Quran ada disebutkan;

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
( Az-Zalzalah :7 – 8)


Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; (diciptakan semuanya itu) untuk membalas orang-orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan, dan membalas orang-orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik-baiknya.
( An-Najm :31 )

Malah di dalam al-Quran juga Allah menerangkan mengenai ‘kuasa’ untuk memilih oleh hambanya;
(Orang-orang) Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
[ Az- Zumar :18]

Semua orang mampu merasa bahagia, dengan izin Allah....BAGAIMANA CARANYA??..Tulisan ini adalah sebahagian petikan dari buku Motivasi pertama saya yang INSYA_ALLAH bakal terbit nanti...mahu tahu kandungan selanjutnya?...sama-sama kita tunggu nanti.

Balik Kampung

Assalamualaikum semua, Saya baru balik dari kampung di Kelantan. Banyak kisah indah yang dapat dikongsikan. Adik bungsu baru masuk ke rumah barunya...Alhamdulillah cantik rumah beliau! Alhamdulillah juga Mek (Ibu saya)masih sihat at the age of 70!Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Saya hanya ingin berkongsi kisah yang begitu menyentuh hati saya. Saya berpeluang melawat Pakcik A, adik ibu saya. Tersentuh sungguh hati! beliau yang baru-baru ini terjatuh di bilik air kelihatan kurus dan pucat! Bukan itu sahaja, percakapannya terhad, sepatah demi sepatah perkataan ynag keluar, itupun kadang-kadang sukar difahami. Dulu Pakcik A bertubuh gempal, ceria dan suka bercerita dengan saya! Aduh, inilah hakikat putaran kehidupan ... Saya dan suami bersama-sama memotong kuku jari tangan dan kakinya. Itu sahaja yang termampu saya lakukan untuk menunjukkan rasa kasih saya padanya.Pakcik A mulanya keberatan takut menyusahkan kami sambil memberitahu berulang kali bahawa anak lelaki sulungnya akan melakukan kerja itu bila melawatnya. Saya tidak pasti bila kali terakhir nak-anaknya melawat beliau.Namun mulutnya sentiasa menyebut nama anak-anaknya terutama anak lelaki sulungnya dan isteri yang pada andaian saya mungkin lebih kerap melawat beliau. Alhamdulillah mulutnya terkumatkamit berzikir dan beliau tetap patuh mengerjakan solat. Malah solatnya dilakukan seawal mungkin. Masuk sahaja waktu, beliau gelisah mahu mengambil wuduk. Airmata saya menitis bila memegang jari jemari yang suatu masa dahulu pernah memandikan saya semasa saya kecil. Beliau seorang yang warak dan penyayang. Saya tidak akan lupa apa yang pernah dilakukannya dahulu semasa mudanya. Dia pernah membeli hadiah sarung kaki untuk saya. Dia kerap menasihati kami adik beradik. Dia kerap bawakan kami kuih-muih. Saya tidak dapat bayangkan kenangan-kenangan yang telah dicipta sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya. Hanya Tuhan yang tahu! Beliau melakukan apa sahaja kerja, sehingga membasuh pakaian untuk keluarga..Ah, biarlah Tuhan yang Maha Adil mengadili segalanya! Saya dapat bayangkan harinya yang panjang kini. Berkurung dirumah dengan kesihatan yang begitu merosot... kehadiran anak-anak menjadi penantian utama baginya. Saya tahu anak-anak beliau (sepupu2) saya merupakan anak-anak yang baik dan soleh. Cuma saya risaukan kesibukan kita di KL ini menghadkan masa untuk menjenguk beliau yang uzur itu. Kebajikan kepada Ibu bapa merupakan 'peluang' untuk anak-anak menjejaki syurga Allah.Mari kita raih peluang itu sementara kita masih diberikan peluang oleh Allah. Usah dipersoalkan apa yang ibu bapa berikan kepada kita kerana selamanya kita tidak mungkin dapat membalas jasa mereka, walaupun jasa untuk 'kelahiran' kita sahaja. Tanyalah diri kita dahulu apakah kita sudah menjadi anak yang soleh? Apakah kita sudah selesa untuk menjawab soalan Allah nanti terhadap layanan kepada kedua ibubapa kita? Semoga kita semua (semestinya termasuk diri saya juga!) mendapat redha kedua ibu bapa kerana hanya dengan redha mereka kita mampu meraih redha Allah.Sabda Rasullulah SAW bermaksud, “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” Riwayat al-Hakim.

Sunday, January 15, 2012

PERIKSA DIRI KITA

Assalamualaikum wbt.

Rancangan Mukadimah yang bersiaran pada pagi selasa di TV9, 21/6/11, sungguh menarik sekali. Saya sangat terkesan sekali dengan ‘ceramah’ yang disampaikan oleh Dr. Danial Zainal Abidin.
Saya amat tertarik dengan cerita Dr. Danial yang mengisahkan dirinya yang tidak jadi meneruskan niat untuk bertemu seorang professor kerana dari jauh dilihatnya professor tersebut membuang balutan coklatnya dari dalam kereta ‘keluar’. Dr. Danial rasa ‘sugul’ dan terkilan menyebabkan dirinya membatalkan hasrat awalnya itu. Jika saya di tempat Dr. Danial, saya akan lakukan perkara yang sama!
Sememangnya saya dan keluarga cukup ‘terkilan’ dan ‘sedih’ dengan sikap sebahagian kecil dari kita yang dengan ‘penuh rasa tidak bersalahnya’ membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Saya dan anak-anak beberapa kali terserempak dengan perlakuan ‘kurang ajar’ seperti itu.

Kisah 1.

Pada suatu hari, saya dan keluarga melalui satu jalanraya berhampiran Plaza Phoenix, Cheras, menuju ke Kajang. Bayangkan jalan yang bersih dan menjadi kegunaan ramai itu sewenang-wenang sahaja dicemari. Sebuah kereta yang dipandu laju dengan beberapa anak muda yang berpakaian tidak melambangkan orang beriman diiringi dengan muzik yang begitu menyakitkan telinga telah membaling keluar satu beg plastik berisi penuh dengan kulit rambutan ke atas jalan. Mujur juga beg plastik itu tidak terjatuh ke atas cermin hadapan pemandu lain yang mungkin boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini. Beg plastik itu terburai di tengah jalan. Segala isi kandungannya bertaburan mencemari permukaan jalan. Saya beristighfar menahan marah. Salah seorang anak saya yang begitu kesal dengan perbuatan tersebut dengan spontan mengeluarkan kata-kata, ‘semoga Tuhan memberi pembalasan setimpal kepada mereka’. Keceriaan kami sekeluarga pagi itu terjejas dengan rasa terkilan yang amat mendalam dengan perbuatan anak-anak muda tersebut. Saya percaya pengguna-pengguna jalanraya yang lain pada ketika itu juga berkongsi perasaan yang sama. Sudahlah muzik yang kuat dan jerit pekik mereka mencemarkan ‘bunyi’, ditambah pula dengan pencemaran alam sekitar.


Kisah 2.

Sewaktu menghantar anak bungsu saya ke sekolah, di Bangi, saya berhenti di sebelah sebuah bas sekolah yang sedang menunggu pelajar sessi pagi untuk pulang. Terdapat sebuah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah yang terletak bersebelahan. Seorang pelajar sekolah menengah perempuan telah dengan selambanya membaling keluar bekas plastik minumannya keluar tingkap bas. Plastik yang masih bersisa dengan minuman itu bertaburan di tengah-tengah jalan. Anak saya yang berusia 9 tahun pada ketika itu marah-marah melihat perbuatan yang tidak bertanggung jawab tersebut. Sebuah tong sampah terletak di tepi jalan berdekatan pintu bas itu sendiri tidak dimanafaatkan. Saya menurunkan cermin kereta dan memandang wajah pelajar tersebut yang sedang berbual dan ketawa dengan suara yang agak kuat bersama-sama dua orang rakannya. Pandangan saya bukannya pandangan menjeling marah. Hanya pandangan biasa untuk menyedarkan dirinya bahawa ada orang memandang dirinya. Pelajar tersebut memandang saya dengan rasa tidak bersalah. Malah seketika kemudian, dibalingnya pembalut makanan pula keluar tingkap. Beberapa pemandu yang tersekat dalam ‘kesesakan’ waktu puncak itu saya lihat turut mengeleng-gelengkan kepala.
“Eii… teruknya perangai, ibu turunkan adik di sini. Adik mahu naik ke atas bas dan memberitahu kakak itu supaya tahu menghargai kebersihan. Jalan ini bersih, ada orang yang menyapunya,” ujar anak saya dengan kemarahan yang membuak. Saya naikkan semula cermin kereta. “Tidak usahlah. Budak perempuan itu sebenarnya ‘sakit’. Kita doakanlah hatinya sembuh dari sakitnya,” pujuk saya.
“Kalau adik nasihatkan, silap-silap adik pula yang dipukul olehnya. Orang yang tidak merasa Allah melihatnya pada masa itu akan melakukan perbuatan begitu. Sebab itulah penting untuk kita sentiasa ingat bahawa di manapun kita Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan!” panjang lebar pula saya mengambil kesempatan menasihati anak saya juga. Anak saya kemudiannya meminta izin untuk mengutip sampah itu. Saya tidak benarkan memandangkan keadaan kenderaan yang bersesak tersebut boleh membahayakan dirinya.
Anak saya pernah mengutip balutan coklat yang baru sahaja dibuang oleh seorang pemuda di sebuah taman rekreasi. Pemuda itu berpaling, meneka anak saya ‘sangkakan ’masih ada coklat dalam balutan tersebut. Namun pemuda tersebut malu sendiri bila anak kecil itu mengutip sampah tersebut dan berlari anak ke arah tong sampah yang berhampiran.


Kisah 3.

Kalau sebelumnya saya dan anak-anak banyak terserempak dengan orang-orang muda yang tidak peka dengan kebersihan persekitaran, kali ini lain pula halnya. Seorang perempuan yang baru sahaja menurunkan anaknya di perkarangan sekolah telah menurunkan cermin pemandu dan membuang beberapa balutan gula-gula keluar tingkap keretanya. Aduh! Terkilan sungguh saya dibuatnya. Kalau selama ini orang-orang muda yang masih dalam proses memerlukan didikan dan bimbingan yang melakukan perkara tersebut, kali ini orang perempuan yang berusia 40an, menutup aurat dengan baik dan berkereta mewah pula yang berkelakuan demikian! (Sebenarnya menutup aurat satu kewajipan dan berbuat dosa itu cerita lain pula. Orang yang menutup aurat jauh lebih baik dan mulia dari orang yang mendedahkan auratnya . Namun saya terkilan, alangkah baiknya imej agama kita, jika penampilan yang baik itu disertakan dengan perlakuan yang baik juga?)
Seperti biasa, anak bungsu saya menjerit tidak puas hati. “Ibu, orang itu sudah tua! Tak kan dia tidak tahu perbuatan itu berdosa!” marah anak saya. Saya mengurut dada mencari idea. “Mungkin dia terlupa. Ibu rasa dia terlupa,” balas saya memujuk. Alhamdulillah anak saya sudah agak terlewat sedikit. Tidaklah perlu saya ulaskan lanjut mengenai hal itu. Anak saya melangkah keluar kereta dengan wajah muram dan berlalu pergi.


Kisah 4

Saya bersama-sama anak sulung dan anak kedua menunggu adik bungsu mereka pulang dari sekolah petang. Bertentangan dengan kereta kami terdapat sebuah kereta yang juga sedang menunggu anak mereka. Kereta tersebut diparkir ditepi pagar sekolah. Saya meneka duduk ditempat pemandu adalah anak lelaki keluarga tersebut. Saya ragui sama ada remaja tersebut sudah memiliki lesen memandu kerana dia kelihatan seperti anak remaja berusia 14 atau 15 tahun sahaja. Disebelahnya mungkin seorang kakak perempuannya. Dibelakang kereta saya agak adalah ibunya dan adik perempuannya. Mula-mula si kakak perempuan perlahan-lahan menurunkan sedikit cermin dan membuang keluar tisu terpakai dari tingkap keretanya.
“Eii…ibunya tidak perasan ke anak dia membuang tisu keluar dari kereta?” komen anak sulung saya. “Mungkin tidak perasan tu,” ujar saya. Tumpuan anak-anak saya kini terarah kepada ‘penghuni’ kereta tersebut.
“Ibu! Patutlah anaknya tidak berakhlak, ibunya juga begitu!” jerit anak lelaki saya yang turut merasa tidak senang dengan perlakuan mereka. Saya menoleh memandang mereka. Kini ibunya sudah keluar dari kereta. Setompok sampah-sampah kecil yang terdiri dari balutan gula-gula dan tisu-tisu terpakai rupanya turut ‘melangkah’ keluar kereta tersebut bersama wanita yang saya agak merupakan ibu mereka. Saya dan anak sulung serentak beristighfar! Kami kehilangan kata-kata sebenarnya. Apa lagi yang hendak saya ucapkan kepada anak-anak jika emak dan anak sama sahaja perangainya!
“Mungkin Mak Cik itu tidak terperasan yang diribaannya ada sampah,” saya cuba meredakan rasa tidak puas hati anak-anak. “Saya rasa tidak. Sebelum dia keluar, Mak Cik itu menoleh ke kiri dan kanan. Seolah-olah meninjau kalau-kalau ada orang yang melihat dirinya. Lepas itu barulah dia keluar dengan perlahan dan melangkah pergi. Bila jauh sikit dari kereta, sempat pula dia menjeling sampah yang dibiarkannya bertaburan dekat pintu keretanya itu. Saya rasa Mak Cik tu sengaja ibu,” anakku yang sulung pula menjelaskan panjang lebar.
Aku terdiam. Sukarnya untuk mendidik anak-anak kita bila di sana sini orang-orang yang sepatutnya memberikan contoh yang baik ‘mengkhianati’ pula tanggung jawabnya. Anak-anak saya terus menerus ‘mengomel’ tidak puas hati. “Sudahlah. Nanti dosa kita pula melebihi dosa mereka. Bukankah ibu sudah katakan, dalam dunia ini banyak benda yang kita rasa tidak puas hati dan teraniaya. Namun pujuklah hati kita dengan keyakinan kepada keadilan Allah. Tidak akan ada satu perbuatanpun walau sebesar zarah yang tidak diadili oleh Allah. Biarlah Allah sahaja yang menilai perbuatan mereka,” pujukku.


Kisah 5.

Baru-baru ini jiran saya mengadakan kenduri. Ramai tetamunya yang hadir. Bersusun-susun kereta parkir di hadapan rumah saya yang kebetulan ada tanah lapang. Sebuah keluarga yang kelihatan seperti keluarga yang ‘baik-baik’ dari segi penampilannya meletakkan kenderaan MPVnya betul-betul bertentangan hadapan pagar rumah saya . Semasa pulang salah seorang anak perempuannya, sekitar 10 tahun usia, membuang beberapa pembalut makanan keatas rumput. Rumput hijau dan bersih yang baru sahaja dibersihkan secara gotong royong oleh suami dan jiran-jiran saya itu kini dicacatkan oleh sampah tersebut. Saya tidak pasti sama ada ibubapanya perasan atau tidak dengan sampah tersebut. Mereka semua pada ketika itu masih belum masuk ke kereta. Ibunya pula hampir terpijak sampah-sampah itu. Saya dan anak sulung yang berada di tingkat atas yang kebetulan sedang melihat keluar mengeleng kepala melihat kejadian itu.
Mereka semua masuk ke kereta. Setelah kereta mula bergerak satu lagi pembalut makanan dilontar keluar. Kali ini saya terdengar ada suara seorang anak kecil yang menjerit, “Hai!...buang sampah ikut suka hati ke?” Seketika kemudian anak bungsu saya tercungap-cungap berlari mendapatkan saya. “Ibu, mereka buang sampah dihadapan rumah kita!” ujarnya yang hampir menanggis kekecewaan. Suami saya yang kebetulan berada berhampiran memujuk, “Biarlah. Nanti kita kutiplah sampah tersebut. Tidak susahpun,” pujuk suami saya.
“Ibu nampak. Dalam dunia ini manusia ini berbagai-bagai ragamnya. Jangan lupa apa yang kita mesti ingat untuk pujuk kekecewaan dan tidak puas hati kita?” tanya saya.
“Allah itu Maha Adil!” kedua-dua anak saya serentak menjawab.
“Kenapa mereka tidak boleh sediakan bekas sampah dalam kenderaan seperti kita lakukan?” tanya anak bungsu saya dengan suara yang sedikit kendur.
“Mungkin dia tidak terfikir tentang itu,” balas saya.
“Kenapa orang yang buang sampah itu tidak pernah terfikir yang sesuatu tempat itu pasti ada orang yang menjaga kebersihannya. Jika ‘main’ ikut suka hati sahaja, agaknya alam sekitar kita ini penuh dengan sampah yang bertimbun-timbun!” komen si bungsu lagi.
“Yang saya hairan tu, tidak tahukah mereka bahawa perbuatan mereka itu sangat keji dan berdosa?” tanya anak sulung saya.
“Mungkin mereka lupa atau ‘pendidikan’ yang mereka terima belum sampai ke isu itu,” jawab saya mudah.
Saya sebenarnya ‘letih’ dengan perangai segelintir kita yang membuang sampah sesuka hati. Kalaupun mereka pada masa itu ‘tidak terfikir’ takutkan Allah, tak kan tergamak mencemari persekitaran yang sudah dijaga bersih oleh orang lain. Tidak adakah rasa bersalah terhadap alam sekitar dan orang lain? Mungkin ada yang merasakan sampah-sampah itu hanya sampah biasa, bukannya sisa toksid atau hasil buangan bahan kimia yang memudharatkan. Namun isunya bukan jenis dan saiz sampah. Isunya kesedaran dan ‘keimanan’ kita yang ‘tercemar’ itu yang dikesalkan. Sikap begini jelas menunjukkan sikap orang yang tidak bersyukur. Tidak mustahil anak-anak yang tidak terdidik dari kecil tentang ‘kesedaran ini’ akan melakukan ‘pencemaran’ yang lebih serius di masa hadapan kelak.
Marilah kita sama-sama mengingatkan diri sendiri dan keluarga kita tentang kesedaran menjaga alam sekitar kita. Kalaupun kita tidak mampu untuk turut membersihkan sesuatu kawasan itu, sekurang-kurangnya bagilah kerjasama dengan tidak mengotorkannya dengan tangan kita pula!

Wassalam.